Artikel Dan Buletin

Sunday, August 12, 2007

Generasi Jiwa Merdeka

GENERASI JIWA MERDEKA

Oleh : Mohd Zikri Zainudin

Mukadimah

"Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang" merupakan tema bagi Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan 2007. Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50, tema ini dipilih bersesuaian dengan manifesto bagi memartabatkan peranan generasi muda dalam menghayati makna kemerdekaan yang sebenar dan hakiki. Sebagai golongan pelapis, mereka sewajarnya menjadi sandaran untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita yang sudah berusia setengah abad ini agar Malaysia terus kekal gemilang dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam. Martabat dan maruah bangsa perlu terus dipelihara dan dipertahankan demi kedaulatan agama, bangsa, dan negara. Generasi muda merupakan pewaris yang bakal membawa risalah kebenaran dan keadilan untuk kesejahteraan ummah bersama. Generasi ini harus memahami makna kemerdekaan sebenar agar mereka dapat memperkukuh dan memperkembangkan potensi diri supaya menjadi generasi unggul yang dapat memanfaatkan segala kurniaan Tuhan seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Makna kemerdekaan dan kebebasan yang hakiki dapat dizahirkan apabila seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada segala perkara yang membawa kepada keburukan seterusnya berpotensi mengancam kehidupannya. Maka generasi yang berjiwa merdeka ini seharusnya tidak mudah dipujuk rayu, termakan akan janji palsu, dan tidak mudah untuk menggadaikan jiwa semata-mata untuk dimamah oleh hawa nafsu mereka yang berupaya membawa kepada kemudaratan.

Analisis Isu

Ancaman globalisasi memaksa kita agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam menghadapi kemelut dunia yang penuh dengan dugaan dan cabarannya tersendiri. Jika kita tenggelam dalam arus globalisasi ini, tidak mustahil kita akan terus hanyut dengan suasana yang "comfortable" dan "convenience" sehingga meletakkan kita dalam zon selesa dan menjadikan kita bersikap manja atau "spoon feeder", seolah-olah sesuatu itu akan diperoleh tanpa usaha untuk mendapatkannya. Dewasa ini, sikap pelajar yang malas dan terlalu mengharapkan pertolongan daripada guru mereka sudah begitu sinonim dalam proses pembelajaran. Mereka mengharapkan guru untuk menjadi penggerak utama untuk membantu mereka mencari jawapan bagi sesuatu persoalan padahal mereka seharusnya melakukannya sendiri. Status pelajar itu sendiri sudah memperlihatkan keperluan untuk mempelajari dan menyelidiki sesuatu dengan hasil usaha mereka tanpa paksaan daripada mana-mana pihak kecuali diri mereka sendiri. Situasi ini bakal mengundang kelahiran generasi yang tidak mahu berfikir dan malas untuk berusaha. Generasi sebegini bakal mengkhianati jiwa mereka sendiri kerana mereka hanya mahu mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan singkat. Budaya mengambil remeh soal jiwa dalam kehidupan menjadikan seseorang itu tidak dapat menghayati makna sebenar kehidupan. Akibatnya, seseorang itu menjadi tidak terurus, malas berusaha, tidak berupaya berfikir secara kritis, dan tidak membudayakan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Imperialisme dan kolonialisme yang berlaku telah menghasilkan generasi yang bersifat "Inferiority Complex" yang terlalu merendah diri dan sanggup menjadi hamba kepada orang lain lalu akhirnya memberi kesan negatif kepada jiwa dan intelektualiti. Ancaman hedonisme yang merupakan komponen dalam globalisasi telah membenarkan berlakunya pertukaran budaya secara meluas tanpa sekatan dan perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif jika tiadanya kawalan dan pemantauan. Budaya mencari keseronokan dan memuaskan hati dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seakan sudah menjadi ikutan masa kini yang berupaya membunuh jiwa dan intelektualiti generasi muda lalu menjadikan generasi ini lesu untuk menongkah arus globalisasi. Persediaan dari segi intelektual, rohani, dan jasmani yang teratur lagi sistematik mampu memberi kelebihan untuk menjana minda generasi berjiwa merdeka.

Generasi Jiwa Merdeka Menurut Pandangan Alam Islam

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, makna merdeka boleh didefinisikan sebagai satu pembebasan daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas dari tuntutan dan tebusan dan boleh berdikari (berdiri sendiri). Makna kemerdekaan ini merangkumi kebebasan secara fizikal yang mendorong seseorang untuk bebas daripada sebarang ancaman yang boleh mengugat ketenteraman yang dikecapi. Berbeza dengan definisi dan pandangan Dr. Muhammad 'Imarah dalam bukunya al-`ata` al-hadhari li`l Islam (Anugerah Islam Untuk Ketamadunan) yang menterjemahkan kemerdekaan atau kebebasan sebagai penentangan terhadap wujudnya perhambaan dan hamba sahaya. Belia juga mentafsirkan kebebasan sebagai peluang yang telah disediakan untuk diisikan dan dimanfaatkan ataupun cuma dibiarkan saja peluang itu berlalu.
Beliau juga mendefinisikan kebebasan sebagai bebas dari cengkaman kebendaan dan undang-undang yang mengongkong serta bebas daripada kongkongan sifat-sifat keji dan hawa nafsu yang tidak terkawal yang dapat menyebarkan penyakit syahwat dunia. Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Binasalah hamba yang menyembah dirham dan binasalah hamba yang menyembah dinar". (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Majah). Seorang penyair arab turut mengatakan: "Tuan yang empunya ketamakan adalah hamba selama-lamanya". Apabila seseorang itu sentiasa menuruti nafsu syahwatnya demi mencapai kehendaknya semata-mata, maka seseorang itu masih belum dikatakan merdeka kerana dirinya sentiasa terbelenggu dengan dosa-dosa dan menjadi hamba kepada nafsunya sendiri dan dia memperhambakan dan memperdagangkan dirinya kepada syaitan. Dr. Muhammad 'Imarah juga mengatakan bahawa risalah Islam membawa makna kebebasan dengan mengembangkan, meningkatkan dan memperkukuhkan potensi diri untuk menjadi ummat yang terbaik dan tidak membiarkan dirinya menjadi hamba kepada segala taghut dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kepada Allah S.W.T dan mengharapkan redha Ilahi. Firman Allah S.W.T: "Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyeru kepada berbuat segala perkara yang maaruf (baik) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah, buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)" (Surah `Ali-Imran:110).

Tauhid iaitu kepercayaan dan ilmu tentang Tuhan adalah punca utama lahirnya jiwa merdeka yang merangkumi kepercayaannya terhadap kewujudan TuhanNya lalu dia beriman kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya dan melakukan segala suruhanNya serta menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah. Begitu penjelasan Dato' Dr. Siddiq Fadhil dalam bukunya Minda Melayu Baru yang membawa idea pembangunan jiwa merdeka dengan pengukuhan indokrinasi tauhid yang bakal menghasilkan generasi berkualiti unggul yang dapat memberi manfaat kepada persekitarannya. Generasi yang berkualiti ini diumpamakan sebagai buih yang tidak akan luput dimamah arus lautan yang mampu bertahan merentasi badai lautan dan taufan. Firman Allah S.W.T: "Adapun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan" (Surah Ar-Ra'd:17).

Generasi yang berjiwa merdeka adalah generasi yang sensitif dengan maruah dan martabatnya dan mereka sanggup berkorban demi menjaga maruah dan martabat mereka. Mereka menyedari dan memahami betapa bernilai dan berharganya maruah dan martabat mereka dan mereka tidak sanggup melihat generasinya dihina, dipijak, dijajah, diremehkan dan diperlekehkan. Inilah yang dikatakan dengan generasi jiwa merdeka yang menjaga dan mempertahankan maruah dan martabat mereka. Generasi ini juga kaya dengan daya usaha dan berjiwa besar dalam mencapai matlamat yang telah dicita-citakan demi menjaga maruah dan martabat mereka.

Bagi Imam Al-Ghazali pula dalam karyanya Kimia Kebahagiaan, seorang yang berjiwa merdeka adalah mereka yang mengetahui dirinya, Tuhannya, dunianya dan tahu tentang hari akhirat. Apabila seseorang itu mengetahui tentang dirinya sendiri, maka secara sedar atau tidak sedar dia telah pun mengenal Tuhannya yang Maha Menciptakan. Maka bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhanya, dia sedar akan tujuannya hidup di muka bumi dan dia tahu apa yang harus dicapainya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Inilah yang dikatakan jiwa merdeka apabila dia mengetahui matlamat hidupnya sebagai hamba Allah dan sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini. Firman Allah S.W.T: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" (Surah Az-Dzaariyaat:56). Maka jelas bahawa tugas manusia di bumi Allah ini adalah untuk memakmurkan bumi dan menjalankan segala muamalat dan urusan dunia dengan pengharapan untuk mendapat keredaan Ilahi. Bila semua unsur ini (pengetahuan tentang diri, Tuhan, dunia dan Akhirat) berpadu, ia akan menghasilkan satu kebahagiaan yang tidak ternilai harganya yang menjadikan jiwa seseorang itu merdeka dan bebas dari unsur kejahatan yang cuba menguasai diri demi mencapai kenikmatan duniawi semata-mata tanpa memikirkan kenikmatan ukhrawi.

Konklusi Dan Agenda Pengisian Jiwa Merdeka

Generasi kini harus lebih berdaya saing dan berfikiran jauh dalam menghadapi cabaran dunia yang dengan kemelut. Generasi ini haruslah berjihad (berusaha dengan bersungguh-sungguh) dalam mencapai satu matlamat dan bukannya melakukan sesuatu sekadar melepaskan batuk di tangga. Mereka ini bakal mengundang hasil yang produktif dalam diri mereka sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara. Generasi ini juga mempunyai semangat juang yang tinggi yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana niat mereka adalah untuk mencari keredhaan Ilahi dan ikhlas kepada Allah S.W.T. Generasi yang berjiwa merdeka harus ini bebas berfikir berlandaskan syariat, Al-Quran dan As-Sunnah dalam melontarkan pandangan demi kebaikan bersama. Budaya tegur menegur dan nasihat menasihati menjadi pokok asas membincangkan masalah bersama yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwwah fillah diantara masyarakat dan membina perpaduan dan toleransi yang dapat memerdekakan jiwa daripada persengketaan. Budaya ilmu juga seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan generasi berjiwa merdeka yang mengangkat dan memartabatkan ilmu pengetahuan bagi membangunkan intelektualiti dan pemikiran generasi agar menjadi masyarakat yang bertamadun tinggi. Nilai-nilai keagamaan dan moral harus diterapkan dalam sistem pendidikan agar generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara dapat menghayati makna kehidupan sebenar yang berlandaskan kepada agama yang dapat membina intelektualiti dan spiritual mereka. Generasi berjiwa merdeka juga dapat mengawal nafsu mereka daripada dikuasai oleh nafsu mereka sendiri yang didorong oleh syaitan dan mereka juga memelihara kesucian hati (qalb) mereka daripada melakukan perkara yang boleh mengongkong dan membunuh jiwa nurani mereka. Generasi ini juga membawa risalah kebenaran dengan menyeru kepada perkara maaruf yang mendatangkan manfaat kepada umat dan mencegah perkara mungkar yang boleh merosakkan jiwa ruhaniyyah mereka. Mereka juga mengukuhkan ruhaniyyah mereka dengan melakukan segala suruhanNya dengan penuh tulus ikhlas kepada Allah S.W.T dan mereka ini sentiasa mengisi jiwa mereka dengan tadabbur, ta'aqul dan takaffur menghayati kebesaran sifat Allah dan mereka ini menghayati makna sebenar kehidupan di dunia bahkan di akhirat yang memerdekakan jiwa mereka daripada dorongan nafsu duniawi yang hanya cuma bersifat sementara. Inilah budaya yang harus diisi oleh generasi kini untuk menjadi generasi yang berjiwa merdeka.

Tuesday, July 17, 2007

ASAS KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM

Pertama: 12 wasiat


1) Elakkan daripada penyesalan ketika ditimpa sebarang penyeksaan dan kezaliman kerana memilih agama Islam. Jika penyesalan itu timbul, segeralah beristighfar (taubat) kepada Allah.

2) Jangan memusuhi atau mengenepikan mana-mana golongan (mazhab) yang ada kerana kewujudannya disebabkan perselisihan di dalam mentakwil (tafsir). Jika mereka menyisihkan kita, jangan sekali-kali tersisih. Bantu dan sokonglah apa yang berunsur baik dan memberi faedah yang terdapat dalam mana-mana golongan. Ketahuilah mereka yang taksub membabi buta sekali-kali tidak akan menyetujui apa yang dilakukan oleh golongan lain.

3) Jangan bercakap dalam perkara yang kita tidak tahu.

4) Sentiasa membaca mana-mana buku agama sekurang-kurangnya dua jam sehari. Jadikan ia sebagai satu amalan rutin. Ringkaskan dalam nota mana-mana bahagian yang dikira penting.

5) Melatih diri dalam menzahirkan syiar Islam walaupun ianya bukan dari hati yang ikhlas.

6) Jangan leka dari berzikir. Sentiasa ingat apa yang diperintahkan Allah. Amatilah sentiasa perkara tersebut. (Ramai yang mengkritik orang-orang yang berzikir sambil berjalan dengan mendakwa ianya tidak lagi sesuai dengan masa sekarang.)
Allah berfirman: “Mereka yang beriman akan menikmati ketenangan jiwa dengan berzikir kepada Allah. Tidakkah dengan berzikir kepada Allah jiwa-jiwa akan menjadi tenang?”

7) Menyebut kalimah (Allah, Allah, Allah) dengan lidah atau hati: sebaiknya dengan hati sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari. Jika mampu, panjangkan sehingga sejam setiap hari. Sewaktu menyebut nama Allah, yakinlah bahawa kita tidak akan keseorangan di dunia & di akhirat. Allah sentiasa hampir dengan hamba-Nya. Sebaik-baik cara menghampirkan diri dengan Allah ialah apabila seseorang hamba itu merasakan dirinya hampir dengan Allah. Sewaktu berzikir, hati hendaklah berada dalam keadaan sedar serta membersihkannya dengan air keimanan kerana hati kita tidak mampu menanggung kemelut dunia.

8) Jauhi diri dari rasa terhina. Seseorang yang merasa dirinya berdosa adalah lebih baik kerana dia akan sentiasa berwaspada. Hati yang tidak dapat dikawal akan berada dalam keadaan tidak menentu & amat payah untuk keluar darinya.

9) Jangan menjauhkan diri daripada orang yang benar-benar kasih kepada Allah. Agak susah untuk menjumpai orang seperti ini sekarang namun percayalah bilangan mereka akan bertambah dari masa ke semasa.

10) Sentiasa ingat bahawa dunia tidak kekal, yang kekal adalah alam akhirat.

11) Jika terdapat satu-satu ayat Al-Qur’an yang susah difahami, ketahuilah mungkin kerana kita tidak mengetahui jalan lain bagi memahami ayat tersebut. Satu-satu ayat dilihat dan diteliti dari tiga atau empat jalan atau dari cara yang berbeza. Untuk menelitinya, memerlukan pengalaman dan kepakaran. Benar, Islam merupakan agama yang mudah tetapi memerlukan kesungguhan bagi memahaminya di samping keihklasan.

12) Manusia semestinya kembali kepada Islam. Sentiasa memberi peringatan kepada mereka sehingga ke akhir hayat. Sewaktu berpenat inilah kita akan dapat rasakan nikmat istirehat. Ketahuilah para sahabat Nabi s.a.w tidur awal dan bangun awal.
Kedua: Program harian

1) Di antara amalan-amalan yang afdhal, berzikir selepas solat Subuh sehinggalah matahari terbit.

2) Mempelajari cara membaca Al-Qur’an.

3) Mempelajari perkara-perkara yang ada hubung kaitnya dengan akidah. Mungkin hari ini kita tidak akan memahami apa itu akidah, InsyaAllah satu hari kelak, kita akan memahaminya.

4) Membaca buku-buku fekah & cari mana-mana guru yang alim lagi taqwa. Jika tidak ada, bolehlah membacanya sendiri. Ingatlah bahawa setiap individu akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap tingkah laku masing-masing.

5) Membaca buku-buku sejarah Islam.

6) Memilih daripada beberapa orang barisan penulis serta membaca kesemua buku-buku karangan mereka. Dengan berbuat demikian, kita telah pun menimba sebahagian besar daripada ilmu-ilmu mereka.

7) Menjaga kesihatan. Jangan terlalu banyak memakan tiga perkara yang dihalalkan iaitu tepung, gula & garam kerana mungkin akan memudaratkan tubuh badan & otak.

8) Jangan hidup dalam keadaan sedih yang berpanjangan kerana mereka yang sentiasa bersedih ataupun yang sentiasa ketawa tidak layak menjadi seorang pendakwah yang berjaya. Allah menyuruh kita di dalam Al-Qur’an untuk bersederhana dalam semua hal.

9) Mengunjungi kawasan-kawasan yang bersih atau kawasan-kawasan yang mempunyai banyak oksigen dua bulan dalam masa setahun jika mampu bagi membersih & memperbaharui sel-sel otak.

10) Jika dikhianati, jangan sekali-kali memarahi agama Islam. Biasakan diri dengan menimba ilmu. Sentiasa tenang & memenuhi masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah jika ingin apa yang dikerjakan itu betul & berjaya. Jangan hiraukan sebarang tohmahan. Sentiasa tekun & jangan sekali-kali takut & berundur. Sesungguhnya kepenatan dalam perjuangan adalah perkara biasa & ianya akan berakhir setelah tibanya waktu untuk berehat. Manakala ketakutan & menyerah kalah tidak akan berakhir dalam keadaan senang.

[12 Wasiat & Program Harian dipetik daripada sebuah novel yang ditulis oleh Aminah Uzqan Syenlikoghu & dialih bahasa oleh Mohd Rofizi Dollah: Antara Atheis, Kristian & Islam: Memori Seorang Gadis Eropah Maria]

Semoga bersama-sama kita beroleh manfaat. Ameeeenn~

Disediakan oleh:
Nadhirah Sainuri @ Finadz

Friday, April 13, 2007

24 Jam Wudhu'

Selalunya, kita akan mengambil wudhu untuk menunaikan solat sahaja. Dan selalunya juga, kita akan berdoa selepas menunaikan solat. Akhirnya, ketika waktu solat sahajalah kita mengingati Allah s.w.t.

Mengapa begitu? Kerana ‘mindset’ kebanyakan daripada kita begitu. Adakah salah? Tidak salah, tetapi adakah Allah bersama-sama dengan kita ketika solat sahaja? Itulah masalah pemikiran kita yang sentiasa dikaburi oleh persekitaran, menjadikan kita hanya beribadat ketika solat sahaja.

Boleh sahaja kita berzikir ketika membeli belah bukan? Boleh sahaja kita berdoa dan memohon taubat ketika makan bukan? Boleh sahaja kita berada dalam keadaan wudhu ketika bersukan bukan? Semua ini lah yang sepatutnya diaplikasikan oleh kita, kerana Allah sentiasa mengawasi pergerakan kita 24 jam, menerima permohonan dan taubat kita bila-bila masa sahaja.

Wudhu adalah ubat

Jikalau kita mendalami al-quran, pasti dapat ketemu dengan berbagai-bagai ubat di dalamnya.

Salah satu ubat adalah dengan berwudhu'. Allah swt berfirman :

'Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. ' [al-Maidah :6]

Jadi, sebagai seorang yang prihatin dengan keadaan diri sendiri, kita seharusnya memastikan diri kita dalam keadaan yang sentiasa bersih,suci, dan berwudhu. Inilah yang dikhabarkan sebagai berwudhu 24 jam. Malah, Rasulullah sendiri sentiasa dalam keadaan berwudhu, sehingga sebelum tidur baginda, air wudhu pasti akan mengalir dahulu.
"Barangsiapa tidur dalam keadaan dirinya berwudhu dan dia mati pada malam itu, maka dia adalah syahid di sisi Allah Ta'ala." [Riwayat Muslim]
Saya yakin semua sudah tentu tahu tentang fadhilat berwudhu. Tetapi, bagaimana untuk berwudhu 24 jam? Bagaimana setelah berhadas besar atau kecil?

Teknik wudhu 24 jam
Mudah sahaja. Selepas mandi, ambillah wudhu' walaupun bukan untuk tujuan solat. Selepas berhadas kecil tidak kira dimana sahaja, jangan keluar dari tandas kecuali selepas berwudhu'. Biasakan diri dan wajibkan diri untuk berwudhu' tidak kira di mana kita berada.
Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
'Mahukah saya tunjukkan padamu hal-hal yang mana Allah menghapuskan dosa-dosamu serta mengangkat darjat mu?' 'Mahu ya Rasulullah', ujar mereka..' Menyempurnakan wudhu menghadapi segala kesusahan, dan sering melangkah mengunjungi masjid, serta menunggu solat demi solat. Nah, itulah dia perjuangan, perjuangan sekali lagi perjuangan!" [HR Malik,Muslim, Tarmizi dan Nasa'i.]

Ulama berpendapat tentang perkataan perjuangan, bermaksud berjihad dan berjuang fi sabilillah, ertinya terus menerus bersuci dan beribadat sama nilainya dengan berjihad fi sabilillah.

Doa selepas berwudhu'?

Bagaimana doa yang disarankan oleh Rasulullah selepas berwudhu'?

Dari Umar ra.Telah bersabda Rasulullah saw : 'Tidak seorang pun diantaramu yang berwudhu lalu menyempurnakannya, kemudian membaca : Asyhadu alla ilaaha illallahu wahdahu laa syarikalah wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluh. ( Aku mengakui bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan aku mengakui bahawa Muhammad itu hamba dan utusan-Nya), kecuali dibukakanlah baginya pintu syurga yang lapan buah itu, sehinga ia dapat masuk dari mana pun disukainya" [HR Muslim]

Solat sunat selepas berwudhu'?

Pernah dengar solat sunat selepas berwudhu? Solat sunat ini telah pun dipraktikkan oleh Bilal bin Rabbah tetapi jarang diamalkan oleh sebilangan umat islam di dunia.
Dari Abu Hurairah bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada Bilal yang maksudnya :
Maksudnya: "Wahai Bilal! Cuba kau ceritakan kepadaku apakah perkerjaan yang paling kau harapkan daripada perkerjaan-perkerja an yang telah kamu lakukan dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi kasut engkau di hadapanku di syurga?" Bilal berkata: "Aku tidak melakukan suatu perkerjaan yang paling aku harapkan selain aku tidak pernah bersuci sama ada malam atau siang kecuali untuk bersembahyang dengannya, sembahyang yang ditentukan oleh Allah untukku(sembahyang sunat)" [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Kesimpulan
Berwudhu merupakan salah satu jalan untuk mengubat hati parah dan luka, punah dan musnah , dengki dan amarah yang biasa melanda diri. Biasakan berwudhu, hati akan sentiasa tenang, tidak kira ketika solat,tidur, makan, belajar dan sebagainya.
"Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dijadikan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air. Maka jika sesiapa di antara kamu yang dalam keadaan marah, maka bersegeralah mengambil wudhu." [Hadis riwayat al-Imam Ahmad]

Syed Huzaifah Syed Omar