GENERASI JIWA MERDEKA
Oleh : Mohd Zikri Zainudin
Mukadimah
"Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang" merupakan tema bagi Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan 2007. Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50, tema ini dipilih bersesuaian dengan manifesto bagi memartabatkan peranan generasi muda dalam menghayati makna kemerdekaan yang sebenar dan hakiki. Sebagai golongan pelapis, mereka sewajarnya menjadi sandaran untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita yang sudah berusia setengah abad ini agar Malaysia terus kekal gemilang dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam. Martabat dan maruah bangsa perlu terus dipelihara dan dipertahankan demi kedaulatan agama, bangsa, dan negara. Generasi muda merupakan pewaris yang bakal membawa risalah kebenaran dan keadilan untuk kesejahteraan ummah bersama. Generasi ini harus memahami makna kemerdekaan sebenar agar mereka dapat memperkukuh dan memperkembangkan potensi diri supaya menjadi generasi unggul yang dapat memanfaatkan segala kurniaan Tuhan seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Makna kemerdekaan dan kebebasan yang hakiki dapat dizahirkan apabila seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada segala perkara yang membawa kepada keburukan seterusnya berpotensi mengancam kehidupannya. Maka generasi yang berjiwa merdeka ini seharusnya tidak mudah dipujuk rayu, termakan akan janji palsu, dan tidak mudah untuk menggadaikan jiwa semata-mata untuk dimamah oleh hawa nafsu mereka yang berupaya membawa kepada kemudaratan.
Analisis Isu
Ancaman globalisasi memaksa kita agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam menghadapi kemelut dunia yang penuh dengan dugaan dan cabarannya tersendiri. Jika kita tenggelam dalam arus globalisasi ini, tidak mustahil kita akan terus hanyut dengan suasana yang "comfortable" dan "convenience" sehingga meletakkan kita dalam zon selesa dan menjadikan kita bersikap manja atau "spoon feeder", seolah-olah sesuatu itu akan diperoleh tanpa usaha untuk mendapatkannya. Dewasa ini, sikap pelajar yang malas dan terlalu mengharapkan pertolongan daripada guru mereka sudah begitu sinonim dalam proses pembelajaran. Mereka mengharapkan guru untuk menjadi penggerak utama untuk membantu mereka mencari jawapan bagi sesuatu persoalan padahal mereka seharusnya melakukannya sendiri. Status pelajar itu sendiri sudah memperlihatkan keperluan untuk mempelajari dan menyelidiki sesuatu dengan hasil usaha mereka tanpa paksaan daripada mana-mana pihak kecuali diri mereka sendiri. Situasi ini bakal mengundang kelahiran generasi yang tidak mahu berfikir dan malas untuk berusaha. Generasi sebegini bakal mengkhianati jiwa mereka sendiri kerana mereka hanya mahu mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan singkat. Budaya mengambil remeh soal jiwa dalam kehidupan menjadikan seseorang itu tidak dapat menghayati makna sebenar kehidupan. Akibatnya, seseorang itu menjadi tidak terurus, malas berusaha, tidak berupaya berfikir secara kritis, dan tidak membudayakan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Imperialisme dan kolonialisme yang berlaku telah menghasilkan generasi yang bersifat "Inferiority Complex" yang terlalu merendah diri dan sanggup menjadi hamba kepada orang lain lalu akhirnya memberi kesan negatif kepada jiwa dan intelektualiti. Ancaman hedonisme yang merupakan komponen dalam globalisasi telah membenarkan berlakunya pertukaran budaya secara meluas tanpa sekatan dan perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif jika tiadanya kawalan dan pemantauan. Budaya mencari keseronokan dan memuaskan hati dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seakan sudah menjadi ikutan masa kini yang berupaya membunuh jiwa dan intelektualiti generasi muda lalu menjadikan generasi ini lesu untuk menongkah arus globalisasi. Persediaan dari segi intelektual, rohani, dan jasmani yang teratur lagi sistematik mampu memberi kelebihan untuk menjana minda generasi berjiwa merdeka.
Generasi Jiwa Merdeka Menurut Pandangan Alam Islam
Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, makna merdeka boleh didefinisikan sebagai satu pembebasan daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas dari tuntutan dan tebusan dan boleh berdikari (berdiri sendiri). Makna kemerdekaan ini merangkumi kebebasan secara fizikal yang mendorong seseorang untuk bebas daripada sebarang ancaman yang boleh mengugat ketenteraman yang dikecapi. Berbeza dengan definisi dan pandangan Dr. Muhammad 'Imarah dalam bukunya al-`ata` al-hadhari li`l Islam (Anugerah Islam Untuk Ketamadunan) yang menterjemahkan kemerdekaan atau kebebasan sebagai penentangan terhadap wujudnya perhambaan dan hamba sahaya. Belia juga mentafsirkan kebebasan sebagai peluang yang telah disediakan untuk diisikan dan dimanfaatkan ataupun cuma dibiarkan saja peluang itu berlalu.
Beliau juga mendefinisikan kebebasan sebagai bebas dari cengkaman kebendaan dan undang-undang yang mengongkong serta bebas daripada kongkongan sifat-sifat keji dan hawa nafsu yang tidak terkawal yang dapat menyebarkan penyakit syahwat dunia. Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Binasalah hamba yang menyembah dirham dan binasalah hamba yang menyembah dinar". (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Majah). Seorang penyair arab turut mengatakan: "Tuan yang empunya ketamakan adalah hamba selama-lamanya". Apabila seseorang itu sentiasa menuruti nafsu syahwatnya demi mencapai kehendaknya semata-mata, maka seseorang itu masih belum dikatakan merdeka kerana dirinya sentiasa terbelenggu dengan dosa-dosa dan menjadi hamba kepada nafsunya sendiri dan dia memperhambakan dan memperdagangkan dirinya kepada syaitan. Dr. Muhammad 'Imarah juga mengatakan bahawa risalah Islam membawa makna kebebasan dengan mengembangkan, meningkatkan dan memperkukuhkan potensi diri untuk menjadi ummat yang terbaik dan tidak membiarkan dirinya menjadi hamba kepada segala taghut dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kepada Allah S.W.T dan mengharapkan redha Ilahi. Firman Allah S.W.T: "Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyeru kepada berbuat segala perkara yang maaruf (baik) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah, buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)" (Surah `Ali-Imran:110).
Tauhid iaitu kepercayaan dan ilmu tentang Tuhan adalah punca utama lahirnya jiwa merdeka yang merangkumi kepercayaannya terhadap kewujudan TuhanNya lalu dia beriman kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya dan melakukan segala suruhanNya serta menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah. Begitu penjelasan Dato' Dr. Siddiq Fadhil dalam bukunya Minda Melayu Baru yang membawa idea pembangunan jiwa merdeka dengan pengukuhan indokrinasi tauhid yang bakal menghasilkan generasi berkualiti unggul yang dapat memberi manfaat kepada persekitarannya. Generasi yang berkualiti ini diumpamakan sebagai buih yang tidak akan luput dimamah arus lautan yang mampu bertahan merentasi badai lautan dan taufan. Firman Allah S.W.T: "Adapun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan" (Surah Ar-Ra'd:17).
Generasi yang berjiwa merdeka adalah generasi yang sensitif dengan maruah dan martabatnya dan mereka sanggup berkorban demi menjaga maruah dan martabat mereka. Mereka menyedari dan memahami betapa bernilai dan berharganya maruah dan martabat mereka dan mereka tidak sanggup melihat generasinya dihina, dipijak, dijajah, diremehkan dan diperlekehkan. Inilah yang dikatakan dengan generasi jiwa merdeka yang menjaga dan mempertahankan maruah dan martabat mereka. Generasi ini juga kaya dengan daya usaha dan berjiwa besar dalam mencapai matlamat yang telah dicita-citakan demi menjaga maruah dan martabat mereka.
Bagi Imam Al-Ghazali pula dalam karyanya Kimia Kebahagiaan, seorang yang berjiwa merdeka adalah mereka yang mengetahui dirinya, Tuhannya, dunianya dan tahu tentang hari akhirat. Apabila seseorang itu mengetahui tentang dirinya sendiri, maka secara sedar atau tidak sedar dia telah pun mengenal Tuhannya yang Maha Menciptakan. Maka bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhanya, dia sedar akan tujuannya hidup di muka bumi dan dia tahu apa yang harus dicapainya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Inilah yang dikatakan jiwa merdeka apabila dia mengetahui matlamat hidupnya sebagai hamba Allah dan sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini. Firman Allah S.W.T: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" (Surah Az-Dzaariyaat:56). Maka jelas bahawa tugas manusia di bumi Allah ini adalah untuk memakmurkan bumi dan menjalankan segala muamalat dan urusan dunia dengan pengharapan untuk mendapat keredaan Ilahi. Bila semua unsur ini (pengetahuan tentang diri, Tuhan, dunia dan Akhirat) berpadu, ia akan menghasilkan satu kebahagiaan yang tidak ternilai harganya yang menjadikan jiwa seseorang itu merdeka dan bebas dari unsur kejahatan yang cuba menguasai diri demi mencapai kenikmatan duniawi semata-mata tanpa memikirkan kenikmatan ukhrawi.
Konklusi Dan Agenda Pengisian Jiwa Merdeka
Generasi kini harus lebih berdaya saing dan berfikiran jauh dalam menghadapi cabaran dunia yang dengan kemelut. Generasi ini haruslah berjihad (berusaha dengan bersungguh-sungguh) dalam mencapai satu matlamat dan bukannya melakukan sesuatu sekadar melepaskan batuk di tangga. Mereka ini bakal mengundang hasil yang produktif dalam diri mereka sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara. Generasi ini juga mempunyai semangat juang yang tinggi yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana niat mereka adalah untuk mencari keredhaan Ilahi dan ikhlas kepada Allah S.W.T. Generasi yang berjiwa merdeka harus ini bebas berfikir berlandaskan syariat, Al-Quran dan As-Sunnah dalam melontarkan pandangan demi kebaikan bersama. Budaya tegur menegur dan nasihat menasihati menjadi pokok asas membincangkan masalah bersama yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwwah fillah diantara masyarakat dan membina perpaduan dan toleransi yang dapat memerdekakan jiwa daripada persengketaan. Budaya ilmu juga seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan generasi berjiwa merdeka yang mengangkat dan memartabatkan ilmu pengetahuan bagi membangunkan intelektualiti dan pemikiran generasi agar menjadi masyarakat yang bertamadun tinggi. Nilai-nilai keagamaan dan moral harus diterapkan dalam sistem pendidikan agar generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara dapat menghayati makna kehidupan sebenar yang berlandaskan kepada agama yang dapat membina intelektualiti dan spiritual mereka. Generasi berjiwa merdeka juga dapat mengawal nafsu mereka daripada dikuasai oleh nafsu mereka sendiri yang didorong oleh syaitan dan mereka juga memelihara kesucian hati (qalb) mereka daripada melakukan perkara yang boleh mengongkong dan membunuh jiwa nurani mereka. Generasi ini juga membawa risalah kebenaran dengan menyeru kepada perkara maaruf yang mendatangkan manfaat kepada umat dan mencegah perkara mungkar yang boleh merosakkan jiwa ruhaniyyah mereka. Mereka juga mengukuhkan ruhaniyyah mereka dengan melakukan segala suruhanNya dengan penuh tulus ikhlas kepada Allah S.W.T dan mereka ini sentiasa mengisi jiwa mereka dengan tadabbur, ta'aqul dan takaffur menghayati kebesaran sifat Allah dan mereka ini menghayati makna sebenar kehidupan di dunia bahkan di akhirat yang memerdekakan jiwa mereka daripada dorongan nafsu duniawi yang hanya cuma bersifat sementara. Inilah budaya yang harus diisi oleh generasi kini untuk menjadi generasi yang berjiwa merdeka.
Sunday, August 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Assalamualaikum,kupasan yang bermanfaat dari saudara..saya ingin meminta izin dari saudara untuk copy paste bahagian takrifan sejarah tu..ada sebarang halangan tak dari pihak saudara?
(^_^)
Post a Comment